MMN diterima sebagai ahli rasmi ke-183 IPU





Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat





 

GENEVA, SWITZERLAND, Isnin, 20 Oktober. - Mesyuarat Governing Council bagi Inter-Parliamentary Union (IPU) bersidang hari ini dan meluluskan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diterima sebagai ahli rasmi ke-183 IPU.


Hari ini mencatatkan detik bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam dengan keputusan tersebut yang dicapai melalui resolusi yang diluluskan, sebagai tanda keahlian rasmi Majlis Mesyuarat Negara dalam organisasi antara-parlimen tertua dan terbesar di dunia.


Perasmian keahlian tersebut diadakan di Mesyuarat Perhimpunan 151st Assembly of the Inter-Parliamentary Union (IPU).


Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, dalam ucapan penerimaan menegaskan penyertaan MMN sebagai detik bersejarah dalam merealisasikan aspirasi jangka panjang untuk menjadi sebahagian daripada komuniti antara-parlimen global.


Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut menekankan kepentingan diplomasi dan kerjasama antara-parlimen dalam menangani cabaran sejagat yang semakin kompleks, serta menegaskan komitmen MMN untuk menyumbang secara konstruktif kepada objektif IPU dalam memupuk keamanan, tadbir urus yang baik dan pembangunan mampan di peringkat antarabangsa.


Delegasi MMN diketuai oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.


Hadir sama ialah Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, bersama dengan Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee.


Mesyuarat Perhimpunan 151st Assembly of IPU dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan termasuk Perhimpunan Agung (Assembly), Sesi Perbahasan Umum (General Debate), serta Mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Tetap diadakan pada 20 hingga 23 Oktober 2025 bertempat di Geneva, Switzerland.


Close